Dec 11, 2012

Pengubat autisme

HARIAN METRO-11.12.12
MENJEJAKKAN kaki ke tingkat tiga dan empat Pusat Kreatif Kanak-Kanak Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) yang baru dibuka di Setia Alam, Shah Alam, baru-baru ini membuatkan penulis seperti kembali semula ke alam prasekolah.
Mata terpesona melihat setiap ruangan di situ yang penuh dengan peralatan mainan, kraftangan dan muzik untuk kegunaan mereka ketika hadir bagi menjalani rawatan dan terapi.
Pendek kata, ia penuh warna-warni dan menghiburkan! Sesuai untuk kanak-kanak itu menjalani proses pemulihan, rawatan dan terapi yang diperlukan bagi kelangsungan masa depan mereka yang masih panjang.
Terdiri daripada lima tingkat, setiap satu mempunyai fungsi berbeza seperti pusat khidmat setempat (tingkat lima), ruangan kreatif dan seni (tingkat empat dan tiga) serta pusat pemerhatian awal (tingkat dua) yang diwujudkan khas untuk kanak-kanak istimewa ini.

Menurut pakar terapi seni kreatif, Caroline Essame, cabang seni kreatif membuatkan kita merasai dan mengenal dunia, dapat meningkatkan ekspresi diri, bertindak sebagai penawar dan perkembangan otak kanak-kanak.

Malah, seni kreatif juga tidak terbatas untuk digunakan sebagai satu medium mengubati penghidap autisme saja kerana kanak-kanak normal yang lain juga sentiasa tertarik dengan benda kreatif seperti aktiviti mewarna, melukis, menyanyi serta menari yang boleh dilakukan di rumah mahupun sekolah.
"Seni kreatif mempunyai bahasanya tersendiri dan ia bermanfaat kepada perkembangan minda setiap insan terutama kanak-kanak yang baru mula mahu belajar.
"Di pusat ini, kami mempunyai pelbagai aktiviti merangkumi seni dan kraftangan, muzik, terapi, drama serta aktiviti kreatif. Dengan cara ini, mereka dapat mengenal pasti minat masing-masing di samping membangunkan kemahiran yang akan memberi manfaat kepada semua.
"Selain itu, pusat ini juga menjadi landasan pendidikan dan komunikasi bagi ibu bapa memahami anak-anak mereka dalam aspek kemahiran menerusi lukisan dan drama," katanya.
Autisme ialah gangguan perkembangan otak yang dicirikan sebagai masalah hubungan sosial, komunikasi, emosi, kurang kebolehan imaginasi, bermain serta menunjukkan tingkah laku terhad dan berulang.
Ia biasanya berkaitan minat, aktiviti dan perangai. Di Malaysia, hampir 70 peratus kanak-kanak autisme mempunyai masalah terencat akal pada tahap berbeza.
Ini sebabnya proses pembelajaran mereka lebih lambat, mempunyai masalah interaksi, komunikasi dan tingkah laku.
Kekurangan dialami kanak-kanak ini menyebabkan mereka tidak faham perasaan orang lain, tiada usaha menggembirakan orang lain dan tidak pandai berinteraksi secara spontan.
Pun begitu, bukan semua individu autisme mengalami masalah pembelajaran kerana ada yang berjaya dan menjadi orang ternama seperti Albert Einstein dan Bill Gates yang menghidap sindrom Asperger sejenis autisme.
Sekiranya mereka boleh berjaya mengapa tidak anak-anak anda bukan? Justeru, kenal pasti masalah anak seawal mungkin supaya jalan penyelesaian dapat dicari.
"Kanak-kanak autistik mempunyai kesukaran untuk berfikir dan bertindak dengan cepat seperti individu normal yang lain. Mereka selalu tidak endahkan kehadiran ibu bapa atau orang di sekeliling.
"Tetapi seperti kanak-kanak lain juga, melalui pengamatan saya mereka tetap gemar bermain dan menyukai aktiviti seperti mewarna, melukis, menari, menulis dan menyanyi.
"Mereka juga boleh menjadi asyik dan lalai dengan aktiviti yang dilakukan. Itu menunjukkan mereka memberi sepenuh perhatian dan seni kreatif mengajar mereka sesuatu," kata Caroline ketika menyampaikan ceramah bertajuk Membina Blok Akademik melalui Seni Kreatif, pada pagi itu.
Bagaimana seni kreatif menjadi satu cara kepada perkembangan kanak-kanak ini?
Seni mengajar kita mengenai simbol, bahasa, meningkatkan keyakinan diri, erti kesabaran dan fleksibiliti serta menyeronokkan.
Menerusi aktiviti menari dan menyanyi yang dijalankan, mereka belajar mengenai pergerakan dan bagaimana mahu mengawal imbangan badan serta mengikut pergerakan orang lain selepas melalui pemerhatian, meredakan kemarahan mereka serta mendengar dengan teliti.
Drama pula membantu mereka menajamkan kemahiran berkomunikasi dan sosial dengan individu lain terutama ibu bapa, membolehkan mereka meluahkan perasaan dengan baik serta mengajar erti kepercayaan dan berimaginasi tinggi.
"Peranan otak yang terbahagi kepada dua iaitu kiri dan kanan juga mempunyai fungsi berbeza. Seni kreatif terkandung di bahagian otak kanan.
"Otak kanan ialah tempat untuk perkembangan hal yang bersifat artistik, kreativiti, perasaan, emosi, gaya bahasa, irama muzik, imaginasi, fantasi, warna, pengenalan diri dan orang lain, hubungan sosial serta pengembangan keperibadian.
"Jika ramai individu mengatakan otak kiri dilabel sebagai pengendali IQ, otak kanan pula memegang peranan penting bagi perkembangan EQ.
"Fungsi otak kanan ini untuk mengurus pola berfikir kreatif manusia, contohnya kemampuan berkomunikasi. Cara kerja otak kanan ini biasanya tidak berstruktur dan tidak memikirkan perkara yang terlalu khusus iaitu bertentangan dengan otak kiri. Contoh orang yang menggunakan otak kanan dibandingkan otak kiri ialah seniman, pelukis dan seumpamanya.
"Otak kiri pula banyak dikaitkan dengan fungsi akademik yang antara lain terdiri daripada kemampuan bercakap, berbahasa, membaca tulisan, logik, angka dan analisis," katanya.
Atas sebab itu, seni kreatif dijadikan alat penghubung kanak-kanak autistik pada peringkat awal kerana ia lebih mudah dan mengikut kemampuan diri berikutan sifat terhad yang mereka miliki.
Pakar psikologi, Rica Frances Talon, pula berkata dunia kanak-kanak autistik masih menjadi misteri sehingga sekarang kerana tiada siapa tahu apa yang bermain dalam fikiran mereka, khususnya apabila mereka mula 'buat perangai' seperti tidak mengendahkan orang lain, asyik menjerit dan mengulangi perkara sama.
"Anak yang menghidap autisme sering dilabel sebagai kanak-kanak lembab atau lembam, bodoh, degil, berkelakuan pelik, mementingkan diri sendiri, tidak faham bahasa dan berkemungkinan besar keciciran dalam pelajaran.
"Walaupun kebanyakan kanak-kanak autistik ada masalah seperti disebutkan itu, melalui pendidikan sewajarnya mereka mampu memiliki kehidupan baik, malah mungkin lebih berjaya daripada individu normal.
"Itu sesuatu yang tidak mustahil akan berlaku sekiranya kekurangan mereka ini dikesan dan dirawati secara perlahan pada peringkat awal usia lagi.
"Justeru, ibu bapa perlu tahu cara yang betul sebelum boleh mendekati dan berinteraksi dengan anak yang menghidap autisme. Jika formula rahsia ini tidak ditemui, anak itu makin sukar didekati dan mungkin terus hidup dalam dunianya sendiri," jelasnya.
Selepas mendapati terdapat beberapa tingkah laku pelik atau sebarang perubahan sikap pada anak, mereka harus dibawa berjumpa doktor dengan segera supaya masalah boleh dikenal pasti.
Diagnosis awal yang meliputi beberapa kaedah sepatutnya akan dilakukan untuk mengetahui jenis penyakit yang dihidapi oleh anak. Selalunya, sebelum program seni kreatif ini diperkenalkan, ibu bapa lebih terdedah kepada program intervensi awal kanak-kanak autistik, terapi pertuturan, pendengaran, perbuatan dan cara kerja.
Intervensi awal ialah satu proses membekalkan perkhidmatan, pendidikan dan sokongan kepada kanak-kanak yang berisiko atau yang mengalami kelambatan dalam perkembangan fizikal atau mental yang akan mempengaruhi perkembangan dan menghalang pembelajarannya.
Program ini disediakan untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan keluarga yang berkeperluan khas dalam lima bidang perkembangan iaitu perkembangan fizikal, kognitif, komunikasi, sosial dan emosi dan adaptasi.
Program intervensi awal di Malaysia disediakan kepada kanak-kanak yang berkeperluan khas, berumur dari kosong hingga enam tahun. Di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia, kanak-kanak yang berkeperluan khas merujuk kepada tiga kategori iaitu kanak-kanak yang mempunyai masalah penglihatan, pendengaran dan pembelajaran.
Kanak-kanak autistik termasuk di dalam kelompok satu golongan daripada kategori bermasalah pembelajaran.
Bagi mengatasi masalah sosial di sekolah seperti tidak pandai berkawan, mementingkan diri sendiri dan sukar mengekalkan tumpuan, beberapa langkah boleh diambil.
Untuk pengetahuan, disebabkan mereka ini tidak pandai bergaul, setiap kali cuba berkawan, ada saja kesalahan yang akan mereka dilakukan. Ini membuatkan mereka berasa tertekan dan mula menyalahkan orang lain.
Mereka mungkin jadi sombong, berlagak dan lebih susah berkawan tetapi mereka juga mempunyai kecenderungan meniru perbuatan orang lain bagi membolehkan mereka diterima sebagai kawan.
Justeru, ibu bapa boleh berusaha mengajak rakan sekolah anak ke rumah. Ini membuatkan anak berasa diterima, lebih yakin serta dapat mengelak mereka menjadi mangsa buli tetapi jangan terlalu berharap mereka akan terus berubah sekelip mata.
Dalam pelbagai perkara, kesabaran dan proses pembelajaran pasti mengambil sedikit masa sebab mereka perlu belajar secara perlahan-lahan.
Kaedah lain ialah merakam suasana permainan atau aktiviti mereka di rumah. Oleh kerana anak autistik ada masalah lambat belajar, dia boleh menonton rakaman ini berulang kali di rumah.
Pada masa sama, galak anak menjadi peramah dan mudah didekati. Jangan kritik jika anak tidak melakukan perkara sepatutnya kerana mereka tidak tahu apa yang salah atau betul.
"Kanak-kanak autistik bukan golongan berisiko atau bodoh, cuma ibu bapa tidak tahu cara mendekati mereka. Oleh kerana mereka ada masalah perlakuan, pemikiran dan tidak pandai bersosial, perkembangan kanak-kanak penghidap autisme secara umumnya lebih perlahan daripada kanak-kanak normal.
"Bagaimanapun, melalui pendidikan betul, individu autistik boleh belajar di sekolah biasa dan berjaya dalam pelajaran. Malangnya, faktor kurang pengetahuan ibu bapa mengenai kecelaruan spektrum autistik (autistic spectrum disorder - ASD) ini menyebabkan ramai kanak-kanak ini membesar di bawah paras kemampuan," katanya.
Antara gejala autisme:
  • Tidak suka bergaul
  • Tidak peka kepada kesakitan
  • Tidak suka dipeluk
  • Berkomunikasi menggunakan gerak syarat atau tangan
  • Lewat bertutur
  • Terlalu aktif atau pasif
  • Tidak bertentang mata bila berkomunikasi
  • Bercakap dalam nada pelik (seperti menyanyi atau bercakap macam robot)
  • Sukar memulakan percakapan (kalau berbual hanya satu pihak iaitu hanya mereka yang bercakap)
  • Mungkin mengulang perkataan sama tetapi tidak faham maksudnya
  • Sangat sensitif kepada rasa, bau dan bunyi yang menyebabkan mereka menunjukkan perlakuan di luar kawalan
  • Mudah berubah mood
  • Suka mengasingkan diri, mengamuk, menjerit, marah-marah dan agresifAtas kesedaran keluarga memainkan peranan penting dalam perkembangan progresif kanak-kanak penghidap autisme, jenama peneraju barangan penjagaan bayi SCA Hygiene Malaysia, bersama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) mengumumkan pembukaan Pusat Kreatif dan Khidmat Setempat Nasom Kiwanis PJ Autism di Setia Alam, Shah Alam.
    Kewujudan pusat itu untuk menjalankan proses penilaian autisme termasuk perkhidmatan pemeriksaan, penilaian dan diagnosis pelbagai kategori penyakit autisme bagi kanak-kanak.
    Ia mempunyai pelbagai aktiviti merangkumi seni dan kraftangan, muzik, terapi, drama serta aktiviti kreatif. Dengan cara ini, pelajar dapat mengenal pasti minat masing-masing di samping membangunkan kemahiran yang akan memberi manfaat kepada semua.
    Selain itu, pusat ini juga menjadi landasan pendidikan dan komunikasi bagi ibu bapa memahami anak-anak mereka dalam aspek kemahiran menerusi lukisan dan drama.
    Pemindahan pusat berkenaan ke Setia Alam berjaya dilaksanakan melalui dana berjumlah RM212,475 yang dijana bersama oleh Nasom dan Drypers, selaras dengan matlamat jenama Drypers iaitu Penjagaan Sepenuhnya.
    Menurut Pengurus Pemasaran Kanannya, Evelyn Chan, Drypers memilih Nasom atas keperluan memberi sokongan kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme kerana prihatin dengan masa depan anak-anak ini.
    "Drypers berhasrat untuk memberi inspirasi kepada ibu bapa melalui pelbagai kaedah lain yang melangkaui daripada sekadar pemakaian lampin.
    "Dalam usaha untuk menyokong usaha murni ini, pusat ini akan menjadi langkah pertama bagi mengenal pasti kanak-kanak yang menghidap autisme agar langkah sewajarnya dapat diambil lantas menangani keadaan mereka mengikut kesesuaian," katanya.
    Setiausaha Lembaga Pengarah Pengurusan Nasom, Cason Ong, berkata setiap seorang daripada 88 kanak-kanak yang dilahirkan mengalami autisme, justeru penting bagi ibu bapa diberikan kemudahan pusat sedemikian.
    Ia bagi membolehkan mereka membuat diagnosis, penilaian serta mengambil tindakan tepat seawal yang mungkin supaya anak-anak mereka dapat menjalani kehidupan yang hampir normal pada masa depan.
    "Pada peringkat inilah penilaian awal menjadi amat penting bagi memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya dan atas sebab itu, kami amat menghargai sumbangan tidak ternilai daripada pihak Drypers kepada pusat ini," ujarnya.
    Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/10


    P/S : Sesiapa yg menpunyai anak autisme,boleh la join Pusat Kreatif  NASOM...